Saturday 20 September 2014

Tips: Sembelit selepas bersalin.

Teks: Nurfarahin Johari.

Assalamualaikum semua.

Coretan kali ini akan saya selitkan tentang tips selepas bersalin. Ramai di kalangan kita yang akan mengalami sembelit/ sukar untuk buang air besar (BO) terutamanya selepas bersalin kan. Ok, saya akan berkongsi tips ini untuk anda. Semoga tips kali ini boleh mengubah gaya hidup anda.

Apa itu sembelit?
Sembelit ialah satu keadaan di mana kita sukar untuk membuang air besar atau jarang membuang air besar. Sembelit merupakan satu gejala, bukan satu penyakit. Bagi mereka yang mempunya tahap kesihatan yang baik, sepatutnya kita boleh membuang air besar sekurang-kurangnya setiap hari.

Kenapa berlakunya sembelit?
Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat sembelit. Di sini saya akan fokuskan sebab-sebab mengapa seseorang itu sembelit. Antaranya:
  1. Kurang mengambil makanan yang mempunyai serat seperti sayur-sayuran.
  2. Kurang melakukan aktiviti fizikal terutamanya dalam kalangan warga tua.
  3. Pengambilan ubat-ubatan seperti herba dan tradisional.
  4. Penyalahgunaan julap (ravin enema).
  5. Sering menahan untuk membuang air besar.
  6. Kekurangan air dalam badan (dehidrasi).
  7. Penyakit atau keadaan tertentu seperti strok yang meminimakan pergerakan seseorang.
  8. Masalah kolon atau rektum (masalah di bahagian usus).
Bagi masyarakat Melayu, ibu-ibu yang selepas bersalin dilarang sama sekali mengambil air dalam kuantiti yang banyak kerana dikatakan akan menyebabkan saluran faraj berair dan perut menjadi buncit. Ini salah kerana jika seseorang itu mengambil air dalam kuantiti yang banyak, ini dapat mengelakkan badan kita dari kekurangan air dan sekaligus akan melembutkan najis. Begitu juga dengan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana beranggapan takut 'sejuk'. Walhal sayur dan buah-buahan sangat kaya dengan serat yang berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan mempercepatkan aliran keluar sisa makanan dari tubuh.

Untuk mengatasi masalah ini, mari kita sama-sama mencuba tips ini. Tidak rugi kalau anda mencuba.

  1. Banyak minum air iaitu kira-kira 6 hingga 8 gelas sehari. Jika anda menyusukan bayi, kuantitinya perlulah ditambah. Air akan membantu penghasilan susu yang banyak, mengurangkan jangkitan kuman dan pundi kencing dan mengurangkan sembelit. Dehidrasi akibat kekurangan air kerana terlalu berpantang boleh menyebabkan luka lambat baik dan air susu menjadi kurang.
  2. Elak tabiat menahan untuk membuang air besar. Jika terasa ingin membuang air besar, segeralah ke tandas walaupun anda rasa kurang selesa terutamanya dalam minggu pertama selepas bersalin. Ketahuilah bahawa lebih lama anda menahan diri daripada membuang air besar, lagi keras najis anda dan pastinya akan memburukkan lagi keadaan.
  3. Lakukan banyak pergerakan seperti berjalan dan senaman ringan walaupun ketika dalam pantang. Cara ini akan memudahkan anda membuang air besar. Jadi tidak ada alasan untuk anda terus berbaring sahaja selepas bersalin.
  4. Makan makanan yang kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Selain serat, makanan ini juga mengandungi banyak vitamin seperti vitamin C. Vitamin C seperti limaum diperlukan untuk memulihkan tisu-tisu yang tercedera semasa kelahiran bayi dan bagi menyembuhkan luka episiotomi ataupun luka caesarean.
Ok. Diharapkan tips kali ini berguna untuk anda. In Shaa Allah, semoga anda dapat mengelak dari berlaku sembelit selepas bersalin. Berhati-hati kerana sembelit yang berlarutan dan serius mungkin akan menyebabkan buasir. Selamat mencuba. ^_^


No comments:

Post a Comment