Tuesday 16 September 2014

Liku-liku seorang jururawat

Teks : Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini jadual tugasku tersangat padat. Bagi jururawat yang bekerja di Jabatan Kecemasan seperti aku, tugas yang tidak kira syif seperti sudah menjadi satu kebiasaan. Walaupun bercuti, acap kali aku akan dipanggil untuk bertugas. Itu belum dikira dengan kerja lebih masa, kadang-kadang terpaksa kerja dua syif. Kalau dihitungkan, masaku lebih banyak dihabiskan di hospital jika dibandingkan bersama yang tersayang. Memang tidak dinafikan kadang-kadang akan timbul perselisihan faham antara aku dan keluarga gara-gara kerja yang tidak menentu. Tapi apakan daya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Alhamdulillah, sekarang keluarga semakin memahami tentang tugasku ini.

Hari ini merupakan Hari Malaysia. Hari dimana semua orang bercuti dan menghabiskan masa bersama yang tersayang. Namun, seawal 5 pagi aku terpaksa bangun untuk menunaikan tanggungjawabku. Bangun pagi, hatiku terasa sangat berat hendak meninggalkan mereka tapi apakan daya ini adalah satu tanggungjawab bagi aku. Aku hanya mampu memandang wajah kesayanganku dengan hati yang pilu. Pernah suatu ketika ada waris bertanyakan tidak penatkah kerja tidak kira masa? Macam mana mengawal emosi ketika berhadapan dengan pesakit yang mempunyai pelbagai karenah. Mana tidaknya, baru sahaja hendak duduk, ada yang memanggil. ' Misi, nak kencing '. ' Misi, air dah habis (IVD)'. 'Misi itu, misi ini'.Kadang-kadang aku rasakan seperti aku ini seorang kuli, yang hanya disuruh untuk melakukan itu dan ini. Namun, soalan-soalan itu aku biarkan tergantung tanpa sebarang jawapan dan hanya senyuman yang mampu aku berikan.

Aku juga seperti orang lain, ada sifat marah, sedih, suka. Namun, apabila merasakan amarahku berada di tahap kemuncak, hanya satu sahaja yang aku fikir. Kita kerja kerana Allah. Jadi walau apa pun yang berlaku, banyakkan bersabar. Aku dikira beruntung kerana bekerja di usia yang agak muda. Jadi aku perlu gunakan amanat yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Rasanya sampai setakat ini dahulu coretan kali ini. Bukan apa, takut terlebih merapu. Selamat malam semua. Tidur dan rehat secukupnya, esok aku perlu bekerja. Assalamualaikum. ^_^

No comments:

Post a Comment