Thursday 25 September 2014

Bertugas malam.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Maaf kerana kesibukan bekerja yang tidak menentu shif dan line internet yang sangat mengecewakan, baru hari ini aku dapat meluangkan sedikit masa. Maafkan ya.

Seperti yang kita tahu, tidak banyak badan beruniform yang akan diberikan untuk bertugas malam. Namun, jururawat seperti kami terutamanya yang bekerja di hospital pasti tidak akan terlepas darinya. Bermulanya jam 9 malam, kami akan mengambil 'report' dari staf yang bekerja petang. Keadaan pesakit satu persatu akan diterangkan. Selepas selesai, maka bermulalah shif kami dari pukul 9 malam sehinggalah ke pukul 7 pagi. Di antara masa itu, banyak perkara yang boleh terjadi. Ketika anda semua sedang nyenyak di buai mimpi, kami terpaksa bersengkang mata bagi memastikan keadaan pesakit kami baik-baik sahaja.

Bagi jururawat yang bertugas di Jabatan Kecemasan seperti aku, kami tidak akan lari dengan kematian. Setiap hari pasti ada sahaja kes-kes kematian dari bayi sehinggalah orang tua. Pesakit datang kepada kami dengan pelbagai keadaan, sakit dada, tersedak susu, kemalangan, dipatuk ular, ragut, dipukul dan macam-macam lagi. Semestinya kami sedaya upaya akan melakukan yang terbaik demi menyelamatkan nyawa seseorang itu. Namun jika Allah tidak mengizinkan, kami tidak boleh berbuat apa-apa.

Ada satu malam, aku bertugas di zon merah (zon kritikal). Datang seorang pesakit dengan komplen sakit dada. Pastinya rawatan yang diberikan bantuan oksigen, ECG dan ubatan. Namun keadaan pesakit ini tidak begitu baik dan semakin merosot. Kami terpaksa menyelamatkannya dengan cara melakukan 'intubation' di mana pesakit terpaksa bernafas dengan bantuan mesin, seperti yang anda lihat di kaca televisyen. Namun demikian, Dia lebih menyayangi pesakit ini. Di depan mata aku sendiri, pesakit ini menghembuskan nafas yang terakhir. Allah, sekelip mata sahaja.

Apabila belakunya keadaan seperti ini, kami pasti akan buntu. Buntu bagaimana cara yang terbaik untuk dijelaskan kepada ahli keluarga. Ya, tidak semua ahli keluarga dapat menerima kenyataan ini, begitu juga kami. Tetapi apakan daya, dengan berbekalkan sedikit semangat, kami cuba menerangkan kepada mereka bahawa orang yang mereka sayangi telah pergi buat selama-lamanya.

Ketika itu, pasti aku akan fikirkan tentang keluarga aku. Dapatkah aku menerima kenyataan jika perkara tersebut terjadi ke atas aku? Namun apa yang berlaku sudah tertulis. Kita hanya dipinjamkan buat sementara waktu sahaja di dunia ini. Bila-bila masa sahaja apa yang kita ada pasti akan di tarik balik. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku senantiasa diingatkan tentang kematian. Ya, sedih memang sedih. Sedih kerana gagal menyelamatkan nyawa tapi apakan daya. Tugas tetap kena diteruskan demi pesakit yang lain. Semoga pesakit yang kami rawat dipanjangkan umur dan akan sihat seperti sedia-kala.


No comments:

Post a Comment