Thursday 25 September 2014

Karenah pesakit.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Walaupun aku baru sahaja berada dalam dunia perubatan, namun macam-macam karenah pesakit yang telah aku lihat. Ahli keluarga juga tidak kurang hebatnya. Pernah suatu ketika pesakit terpaksa dimasukkan ke wad. Namun disebabkan keadaan wad yang penuh, pesakit ini akan berada di Jabatan Kecemasan, kadang-kadang dalam jangka waktu yang lama. Cuba anda bayangkan, jika 10 orang pesakit terpaksa masuk wad tetapi keadaan wad yang penuh, datang pula kes-kes rujukan, selalunya dari Hospital Yan, Hospital Baling, Pantai Hospital, dan klinik kesihatan, kes-kes kemalangan, 'ambulance call', sudah semestinya berlambakkan pesakit akan berada di Jabatan Kecemasan. Mana satu yang kami perlu rawat? Semestinya rawatan akan diberikan kepada mereka yang teruk dan yang lebih memerlukan.

Kadang-kadang aku tidak faham kenapa ramai yang suka datang ke hospital kerajaan jika mengalami penyakit yang ringan-ringan sahaja? Tidak cukup dengan itu, ibu bapa selalu akan membawa anak-anak kecil untuk mendapatkan rawatan pada waktu malam. Di sini aku ingin menekankan kepada anda bahawa jika ada anak-anak anda yang demam, jangan takut untuk mandikan ataupun lapkan badan mereka. Kalau anda datang kepada kami, perkara yang sama akan kami lakukan. Kami akan memberi anda besen dan kain dan kami akan membogelkan anak anda dan akan meminta anda membasahkan badan bermula dari kepala sehingga ke kaki. Mudah kan. Dekat rumah pun anda boleh melakukannya. Diingatkan jangan menggunakan air sejuk tetapi anda harus menggunakan air suam. Jika keadaan berterusan, barulah anda boleh membawa anak anda ke hospital. Dan lagi satu, ubatan antibiotik yang diberikan kepada anda mestilah dihabiskan mengikut waktu yang telah ditetapkan. Jangan pula anda datang tetapi antibiotik belum dihabiskan. Jangan marah kalau kami melayan anda endah tidak endah.

Yang paling menarik, semestinya yang akan masuk ke wad adalah mereka yang tua, yang tidak berdaya untuk bergerak. Tetapi kenapa ada di antara waris yang sanggup meninggalkan mereka ini? Kami jururawat yang sibuk inilah yang terpaksa menjaga. Tapi ingat, pesakit kami bukan seorang. Jadi layanan kami agak terbatas. Kalau tidak dijaga dengan baik, mulalah timbul aduan cakap jururawat itu, jururawat ini. Diingatkan hospital bukan pusat kebajikan atau rumah orang-orang tua yang anda akan datang apabila perlu sahaja. Hospital adalah tempat menerima rawatan bagi mereka yang memerlukan. Tidak rugi langsung kalau anda meluangkan masa untuk menjaga ahli keluarga, darah daging sendiri. Jika terlalu sibuk, cuba bergilir-gilir dengan ahli keluarga yang lain. Alasan sibuk memang alasan yang tidak boleh diterima. Kasihan orang tua anda, semestinya mereka akan bersedih jika anda darah daging sendiri tidak mahu menjaga.

Dari dulu sehinggalah ke sekarang, pastinya hospital kerajaan yang akan menerima pelbagai aduan jika hendak dibandingkan dengan hospital swasta. Anda sepatutnya bersyukur kerana anda hanya dicas RM1 sahaja tapi jangan ingat hanya RM1 bermakna anda boleh mengadu itu dan ini. Kami sebolehnya akan merawat anda dengan sebaik yang mungkin. Jika tidak tahan, tolong pergi ke hospital swasta. Janganlah serabutkan kami dengan karenah anda yang entah apa-apa itu. Kami juga manusia biasa, hanya mencari rezeki tetapi jangan sesekali anda mencuba menutup periuk rezeki kami dengan fitnah anda. Ingat, mungkin anda terlepas di dunia tapi di akhirat belum tentu lagi.

Satu lagi ada yang datang kepada kami hanya untuk meminta cuti sakit (MC) sahaja. Dah tu apabila diberi sehari, minta pula 2 atau 3 hari dengan alasan sakit tidak akan baik dengan sehari cuti sahaja. Sakit tidak baik atau anda malas ke kerja? Kami ahli perubatan, hanya kami yang layak dan tahu berapa hari cuti yang anda betul-betul perlukan, bukan anda. Jadi bersyukurlah dengan jumlah MC yang kami berikan. Jangan sesekali merungut.

Dan yang paling buat kami tidak tahan, cakap kami macam-macam tapi akhirnya apabila sakit kami juga yang anda rujuk. Kadang-kadang yang datang kepada kami muka yang sama, boleh dikatakan tiap-tiap minggu dan sakit yang sama. Sampaikan ada yang 'addict' terhadap ubatan. Kami kadang-kadang terpaksa menipu dengan memberikan air biasa semata-mata tidak ingin melihat anda terlalu taksub dengan sesuatu ubatan terutamanya ubatan analgesik (ubat tahan sakit).

Jadi konklusinya, jangan merungut atau mengadu itu dan ini. Cubalah anda faham situasi dan keadaan kami. Sebolehnya kami akan mencuba memberi perawatan yang terbaik sehingga anda sembuh. Hargai kami, itu sahaja yang kami perlukan.

Bertugas malam.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Maaf kerana kesibukan bekerja yang tidak menentu shif dan line internet yang sangat mengecewakan, baru hari ini aku dapat meluangkan sedikit masa. Maafkan ya.

Seperti yang kita tahu, tidak banyak badan beruniform yang akan diberikan untuk bertugas malam. Namun, jururawat seperti kami terutamanya yang bekerja di hospital pasti tidak akan terlepas darinya. Bermulanya jam 9 malam, kami akan mengambil 'report' dari staf yang bekerja petang. Keadaan pesakit satu persatu akan diterangkan. Selepas selesai, maka bermulalah shif kami dari pukul 9 malam sehinggalah ke pukul 7 pagi. Di antara masa itu, banyak perkara yang boleh terjadi. Ketika anda semua sedang nyenyak di buai mimpi, kami terpaksa bersengkang mata bagi memastikan keadaan pesakit kami baik-baik sahaja.

Bagi jururawat yang bertugas di Jabatan Kecemasan seperti aku, kami tidak akan lari dengan kematian. Setiap hari pasti ada sahaja kes-kes kematian dari bayi sehinggalah orang tua. Pesakit datang kepada kami dengan pelbagai keadaan, sakit dada, tersedak susu, kemalangan, dipatuk ular, ragut, dipukul dan macam-macam lagi. Semestinya kami sedaya upaya akan melakukan yang terbaik demi menyelamatkan nyawa seseorang itu. Namun jika Allah tidak mengizinkan, kami tidak boleh berbuat apa-apa.

Ada satu malam, aku bertugas di zon merah (zon kritikal). Datang seorang pesakit dengan komplen sakit dada. Pastinya rawatan yang diberikan bantuan oksigen, ECG dan ubatan. Namun keadaan pesakit ini tidak begitu baik dan semakin merosot. Kami terpaksa menyelamatkannya dengan cara melakukan 'intubation' di mana pesakit terpaksa bernafas dengan bantuan mesin, seperti yang anda lihat di kaca televisyen. Namun demikian, Dia lebih menyayangi pesakit ini. Di depan mata aku sendiri, pesakit ini menghembuskan nafas yang terakhir. Allah, sekelip mata sahaja.

Apabila belakunya keadaan seperti ini, kami pasti akan buntu. Buntu bagaimana cara yang terbaik untuk dijelaskan kepada ahli keluarga. Ya, tidak semua ahli keluarga dapat menerima kenyataan ini, begitu juga kami. Tetapi apakan daya, dengan berbekalkan sedikit semangat, kami cuba menerangkan kepada mereka bahawa orang yang mereka sayangi telah pergi buat selama-lamanya.

Ketika itu, pasti aku akan fikirkan tentang keluarga aku. Dapatkah aku menerima kenyataan jika perkara tersebut terjadi ke atas aku? Namun apa yang berlaku sudah tertulis. Kita hanya dipinjamkan buat sementara waktu sahaja di dunia ini. Bila-bila masa sahaja apa yang kita ada pasti akan di tarik balik. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku senantiasa diingatkan tentang kematian. Ya, sedih memang sedih. Sedih kerana gagal menyelamatkan nyawa tapi apakan daya. Tugas tetap kena diteruskan demi pesakit yang lain. Semoga pesakit yang kami rawat dipanjangkan umur dan akan sihat seperti sedia-kala.


Saturday 20 September 2014

Kami jururawat malaysia.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Kali ini saya bawakan kepada anda tentang realiti kehidupan seorang yang bergelar jururawat. Mungkin nampak senang bagi anda, tetapi hanya mereka yang bergelar jururawat atau yang mempunyai ahli keluarga seorang jururawat sahaja yang memahami kerjaya kami. Bagi yang menghargai kerjaya kami, terima kasih saya ucapkan. Bagi yang menghina kerjaya kami, ami akan jadikan hinaan anda sebagai penaik semangat untuk kami terus memeri perawatan yang terbaik kepada anda.

Kami jururawat Malaysia.
Bukanlah ahli silap mata.
Yang dapat memukau penontonnya.
Tetapi kami hanyalah jururawat.
Yang berusaha mengembalikan senyuman.
Mengukir kegembiraan di wajah setiap insan.
Tatkala diberi keizinan oleh-Nya untuk sembuh.

Kami jururawat Malaysia.
Bukanlah seorang pelawak.
Yang dapat menghibukan peminatnya.
Tetapi kami hanyalah jururawat.
Yang hanya memberi dorongan.
Kepada insan yang memerlukan.
Tatkala sedang diuji oleh-Nya.

Kami jururawat Malaysia.
Bukanlah pahlawan negara.
Yang gagah menghunus senjata.
Tetapi kami hanyalah jururawat.
Satu kumpulan yang cuba memberi perawatan yang terbaik.
Demi kesejahteraan insan dan negara.
Walaupun ada kalanya ami lemah dek kesakitan.

Kami jururawat Malaysia.
Bukanlah sorang pendidik.
Yamg mendidk anak bangsa ke arah kejayaan.
Tetapi kami hanyalah jururawat.
Yang berkongsi ilmu untuk sihat.
yang memberi info tenytang wabak penyakit.
Walaupun kami sendiri terdedah kepada ancaman penyakit.

Masyarakat.
' Jururawat tidak mesra'?
Maafkan kami.
Kesibukan kerja kami.
Ke sana ke mari.
Melaksanakan tugas dan juga arahan doktor.
Menjadikan ami alpa untuk memberi layanan kepada anda.

Masyarakat.
' Jururawat tidak senyum'?
Maafkan kami.
Keletihan kami semasa bertugas.
Tekanan semasa menjalankan tugas.
Melayan karenah pelbagai pesakit.
Membuat kami alpa untuk memberi senyuman kepada anda.

Masyarakat.
' Jururawat tidak sopan'?
Mungkin sesetengah dari kami.
Terlupa di mana adab sopan.
Di mana letaknya tatasusila.
Kerana nila setitik.
Rosak susu sebelanga.

Kami manusia biasa.
Ada emosi, suka, duka, gembira, kecewa.
Kami juga punyai keluarga.
Tatkala ada antara anggota keluarga kami sakit.
Kerisauan dan kebimbangan kami.
Kami sembunyi jauh di lubuk hati.
Dangan berbekalkan kegigihan dan semangat.
Kami tetap meneruskan tanggungkawab kami.

Kami jururawat Malaysia.
Maafkan kami kerana tidak mesra.
Maafkan kami kerana tidak senyum.
Maafkan kami kerana tidak sopan.
Maafkan kami jika kami tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Kami jururawat Malaysia.
Doakan kami untuk terus ikhlas.
Doakan kami untuk terus senyum.
Doakan kami untuk terus berdedikasi.
Doakan kami untuk terus berkhidmat.
Demi kesejahteraan negara Malaysia.
Aminnn...


                    
Kami sedia membantu. ^_^

Tips: Sembelit selepas bersalin.

Teks: Nurfarahin Johari.

Assalamualaikum semua.

Coretan kali ini akan saya selitkan tentang tips selepas bersalin. Ramai di kalangan kita yang akan mengalami sembelit/ sukar untuk buang air besar (BO) terutamanya selepas bersalin kan. Ok, saya akan berkongsi tips ini untuk anda. Semoga tips kali ini boleh mengubah gaya hidup anda.

Apa itu sembelit?
Sembelit ialah satu keadaan di mana kita sukar untuk membuang air besar atau jarang membuang air besar. Sembelit merupakan satu gejala, bukan satu penyakit. Bagi mereka yang mempunya tahap kesihatan yang baik, sepatutnya kita boleh membuang air besar sekurang-kurangnya setiap hari.

Kenapa berlakunya sembelit?
Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat sembelit. Di sini saya akan fokuskan sebab-sebab mengapa seseorang itu sembelit. Antaranya:
  1. Kurang mengambil makanan yang mempunyai serat seperti sayur-sayuran.
  2. Kurang melakukan aktiviti fizikal terutamanya dalam kalangan warga tua.
  3. Pengambilan ubat-ubatan seperti herba dan tradisional.
  4. Penyalahgunaan julap (ravin enema).
  5. Sering menahan untuk membuang air besar.
  6. Kekurangan air dalam badan (dehidrasi).
  7. Penyakit atau keadaan tertentu seperti strok yang meminimakan pergerakan seseorang.
  8. Masalah kolon atau rektum (masalah di bahagian usus).
Bagi masyarakat Melayu, ibu-ibu yang selepas bersalin dilarang sama sekali mengambil air dalam kuantiti yang banyak kerana dikatakan akan menyebabkan saluran faraj berair dan perut menjadi buncit. Ini salah kerana jika seseorang itu mengambil air dalam kuantiti yang banyak, ini dapat mengelakkan badan kita dari kekurangan air dan sekaligus akan melembutkan najis. Begitu juga dengan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana beranggapan takut 'sejuk'. Walhal sayur dan buah-buahan sangat kaya dengan serat yang berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan mempercepatkan aliran keluar sisa makanan dari tubuh.

Untuk mengatasi masalah ini, mari kita sama-sama mencuba tips ini. Tidak rugi kalau anda mencuba.

  1. Banyak minum air iaitu kira-kira 6 hingga 8 gelas sehari. Jika anda menyusukan bayi, kuantitinya perlulah ditambah. Air akan membantu penghasilan susu yang banyak, mengurangkan jangkitan kuman dan pundi kencing dan mengurangkan sembelit. Dehidrasi akibat kekurangan air kerana terlalu berpantang boleh menyebabkan luka lambat baik dan air susu menjadi kurang.
  2. Elak tabiat menahan untuk membuang air besar. Jika terasa ingin membuang air besar, segeralah ke tandas walaupun anda rasa kurang selesa terutamanya dalam minggu pertama selepas bersalin. Ketahuilah bahawa lebih lama anda menahan diri daripada membuang air besar, lagi keras najis anda dan pastinya akan memburukkan lagi keadaan.
  3. Lakukan banyak pergerakan seperti berjalan dan senaman ringan walaupun ketika dalam pantang. Cara ini akan memudahkan anda membuang air besar. Jadi tidak ada alasan untuk anda terus berbaring sahaja selepas bersalin.
  4. Makan makanan yang kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Selain serat, makanan ini juga mengandungi banyak vitamin seperti vitamin C. Vitamin C seperti limaum diperlukan untuk memulihkan tisu-tisu yang tercedera semasa kelahiran bayi dan bagi menyembuhkan luka episiotomi ataupun luka caesarean.
Ok. Diharapkan tips kali ini berguna untuk anda. In Shaa Allah, semoga anda dapat mengelak dari berlaku sembelit selepas bersalin. Berhati-hati kerana sembelit yang berlarutan dan serius mungkin akan menyebabkan buasir. Selamat mencuba. ^_^


Tuesday 16 September 2014

Liku-liku seorang jururawat

Teks : Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini jadual tugasku tersangat padat. Bagi jururawat yang bekerja di Jabatan Kecemasan seperti aku, tugas yang tidak kira syif seperti sudah menjadi satu kebiasaan. Walaupun bercuti, acap kali aku akan dipanggil untuk bertugas. Itu belum dikira dengan kerja lebih masa, kadang-kadang terpaksa kerja dua syif. Kalau dihitungkan, masaku lebih banyak dihabiskan di hospital jika dibandingkan bersama yang tersayang. Memang tidak dinafikan kadang-kadang akan timbul perselisihan faham antara aku dan keluarga gara-gara kerja yang tidak menentu. Tapi apakan daya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Alhamdulillah, sekarang keluarga semakin memahami tentang tugasku ini.

Hari ini merupakan Hari Malaysia. Hari dimana semua orang bercuti dan menghabiskan masa bersama yang tersayang. Namun, seawal 5 pagi aku terpaksa bangun untuk menunaikan tanggungjawabku. Bangun pagi, hatiku terasa sangat berat hendak meninggalkan mereka tapi apakan daya ini adalah satu tanggungjawab bagi aku. Aku hanya mampu memandang wajah kesayanganku dengan hati yang pilu. Pernah suatu ketika ada waris bertanyakan tidak penatkah kerja tidak kira masa? Macam mana mengawal emosi ketika berhadapan dengan pesakit yang mempunyai pelbagai karenah. Mana tidaknya, baru sahaja hendak duduk, ada yang memanggil. ' Misi, nak kencing '. ' Misi, air dah habis (IVD)'. 'Misi itu, misi ini'.Kadang-kadang aku rasakan seperti aku ini seorang kuli, yang hanya disuruh untuk melakukan itu dan ini. Namun, soalan-soalan itu aku biarkan tergantung tanpa sebarang jawapan dan hanya senyuman yang mampu aku berikan.

Aku juga seperti orang lain, ada sifat marah, sedih, suka. Namun, apabila merasakan amarahku berada di tahap kemuncak, hanya satu sahaja yang aku fikir. Kita kerja kerana Allah. Jadi walau apa pun yang berlaku, banyakkan bersabar. Aku dikira beruntung kerana bekerja di usia yang agak muda. Jadi aku perlu gunakan amanat yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Rasanya sampai setakat ini dahulu coretan kali ini. Bukan apa, takut terlebih merapu. Selamat malam semua. Tidur dan rehat secukupnya, esok aku perlu bekerja. Assalamualaikum. ^_^

Monday 8 September 2014

Kesan ubatan yang luput tarikh.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Entri kali ini saya ambil dari 'facebook'. Diingatkan sebelum anda mengambil sebarang jenis ubatan, pastikan anda melihat tarikh luputnya terlebih dahulu. Jika ubatan itu telah tamat tarikh, teruskan membuangnya. Jangan anda sayangkan duit gara-gara tidak mahu membeli ubat yang baru. Ini kerana ubatan yang telah tamat tarikh akan menyebabkan keracunan jika mengambilnya. Selain itu, pastikan anda tahu kesan sampingan ubatan sebelum mengambilnya. Sebagai contoh, jangan sesekali anda mengambil syrup benadryl (diphenhydramine) atau dalam bahasa mudah ubat batuk ketika ingin memandu kerana ubat ini akan menyebabkan anda mengantuk. 

Jika anda tidak pasti tentang ubatan yang anda ambil, sila bertanya kepada pegawai farmasi ataupun doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya. Ini untuk mengelakkan anda dari keracunan dan alergik terhadap sebarang jenis ubatan. Mencegah sebelum perkara yang lebih buruk terjadi. Anda mampu mengubahnya. ^_^

Photo: Akibat pengambilan ubat yang telah luput boleh mnyebabkan kematian.ibu bapa dan orang ramai perlu berhati-hati..sebelum pengambilan ubat sila pastikan:

- Pastikan ubat dan nama pesakit betul
- Tarikh pengambilan yang betul
- Dose yang sepatut diambil dlm sehari
- Waktu yang diarahkan oleh doktor
- Cara pegambilan ubat seperti diarah oleh doktor
- Tarik luput ubat pada lebal ubat

ubat yang telah luput boleh menjadi racun...pasti juga menbaca kesan ubat yang akan diambil kerana ada sesetengah ubat menpunyai kesan sampingan seperti ubat batuk boleh menyebabkan mangantuk.Tidak sesuai diambil jika mahu memandu.

sila hebahkan kepada saudara dan sahabat yang lain..
Semoga dengan health education ini menyedarkan orang ramai dan mengurangkan kes keracunan ubatan...
Semoga entri ini dapat menyedarkan orang ramai dan dapat mengelak dari berlakunya kes keracunan terhadap ubatan. 

Wassalam. 

Dianggap hina dan kotor?

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selama tiga tahun belajar dalam diploma kejururawatan, kami tidak pernah diajar cara-cara untuk memcuci BO (air besar), PU (air kencing) dan vomit (muntah). Namun disebabkan kami mementingkan kebersihan dan kesihatan pesakit, kami rela untuk melakukan kerja-kerja yang dianggap kotor itu. Jadi ini bermakna semua orang boleh melakukan tugas ini, tidak kira orang awam ataupun jururawat itu sendiri. Tetapi malangnya setiap kali pesakit BO atau PU, pasti ahli keluarga akan terkial-kial mencari jururawat. Apabila kami mengajak untuk melakukan bersama kami, pasti ada sahaja alasan yang diberikan. Kotor, jijik, geli, tidak tahan dengan bau, takut berjangkit dan macam-macam lagi. Sedangkan itu ahli keluarga sendiri, darah daging sendiri. Akhirnya kami jururawat inilah yang terpaksa melakukan tugas ini sendirian. Kenapa perlu jijik? Itukan darah daging anda sendiri. Kami yang langsung tiada ikatan persaudaraan sanggup membersihkannya, mengapa tidak anda? Bukan seorang pesakit yang kami perlu jaga tapi berpuluh-puluh orang pesakit dalam satu masa. Kami bukan robot, kami juga ada perasaan seperti anda.

Sepatutnya anda bersyukur kerana walaupun kami jururawat yang sering anda hina dan caci, kami tetap akan menolong ahli keluarga anda. Kami akan pastikan semua pesakit kami berada dalam keadaan yang bersih. Jika anda mahu menghina jururawat yang menjaga ibu dan bapa anda sendiri, fikir sejenak. Anda sendiri tidak mampu menjaga mereka, jijik dengan mereka, jadi siapa yang lebih hina? Selamat berfikir. ^_^




Realiti seorang jururawat.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum semua. Diharapkan semuanya baik-baik sahaja.

Akhir-akhir ini acap kali kita sering mendengar tohmahan yang dilemparkan ke atas jururawat. Sampaikan ada sahaja yang mengutuk kerjaya kami tanpa rasa segan dan silu di media sosial. Hina sangatkah kerjaya kami bagi anda? Fikir sejenak, kalau bukan kami yang menjaga dan merawat anda ketika anda sakit, siapa lagi???

Ya, menjaga kebajikan pesakit bukan semudah yang disangka. Cuba anda merenung seketika. Dalam sehari ada 24 jam dan selama 23 jam 30 minit, semua kerja-kerja kebajikan dilakukan oleh jururawat dan hanya 30 minit sahaja pesakit dirawat oleh doktor.  Tanggungjawab yang digalas oleh kami tersangatlah besar. Macam-macam karenah pesakit terpaksa kami layan. Sampaikan ada tikanya kami ditendang oleh pesakit ketika kami cuba memberi perawatan yang terbaik. Tidak cukup dengan itu, kami dicaci dan dimarahi oleh ahli keluarga. Semua itu terpaksa dihadapi oleh kami ketika melakukan perawatan yang terbaik untuk anda. Tidakkah anda sedar, kami juga hanya manusia biasa, yang mempunyai keluarga, yang mempunyai perasaan, yang mempunyai masalah tapi sedikit pun kami tidak menyimpan dendam kerana kami sedar bahawa itu adalah kerjaya kami dan kami bertanggungjawab dalam memberikan kebajikan dan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit.

Ketika anda sedang nyenyak dibuai mimpi, kami terpaksa bangun seawal 5.00 pagi gara-gara untuk bersiap ke tempat kerja dan menyiapkan sarapan untuk keluarga. Sebelum pergi kerja, uniform kami putih bersih tapi balik dari kerja pasti uniform kami bertukar warna disebabkan terkena darah, kencing dan tahi. Namun, tidak seorang pun yang peduli akan kami. Sebelum ke kerja kami akan membawa bekal makanan dan pastinya bekal itu akan dibawa pulang semula dalam keadaan yang baik tanpa sempat dijamah walaupun sedikit semata-mata sibuk melayan karenah pesakit yang dikasihi. Sebelum ke kerja pundi kencing kami kosong tetapi balik dari kerja ramai di antara kami yang mendapat UTI akibat sibuk mengutip kencing pesakit sedangkan kami sendiri tidak sempat ke tandas. Ke kerja pasti 'on time' tapi balik kerja mesti akan 'extend' gara-gara terpaksa siapkan laporan pesakit. Sampaikan satu tahap keluarga kami mengeluh gara-gara masa kami banyak diperuntukkan di tempat kerja jika dibandingkan bersama mereka. Apabila kami melakukan kerja dengan baik, doktor akan dilambung tapi jika kami melakukan kesalahan yang sekecil kuman, pasti kami akan dicaci dan dihina. Ya, itulah kami. Kebaikan kami seperti ditutup rapat tetapi kesilapan kami dihebah-hebahkan. Kami tidak minta apa-apa balasan tapi cukuplah dengan dihargai. Janganlah menghina dan mencaci kami.  

Walau apa pun, aku tetap bangga menjadi seorang jururawat. Go Farah go! ^_^

Photo: LELAKI HINA JURURAWAT

Agak menyedihkan buat warga kerja jururawat apabila sesetengah komen dan kecaman oleh public diberikan tanpa memikirkan hati dan perasaan mereka . Sesungguhnya , jururawat yang bekerja memang punya mental yang keras dan tidak mudah mengalah .

Berita ini sebenarnya telah berlarutan 3 hari yang lepas namun baru sahaja kecoh di media apabila group nurse di wassap mahupun media lain mengecam komen dan 'mamat' tersebut .Untuk info , admin infohub sendiri cuba mencari nama seperti tertera dalam 'screenshoot' , namun telah tiada . Mungkin diberi ugutan, kecaman hebat setelah lantang memberikan komen .

apa yang dikatakan si mangkuk helmi ini ialah : ' Nurse mandikan baby? Kerja nurse bkn ke tayang muka , tayang body lentik , dan tayang te#$k je kat sana ? opsss ,maaf .bye 

Sememangnya komen ini mengundang kemarahan komuniti mereka . Adeh ! Mohon pihak berwajib melakukan siasatan lanjut . - infohub
Terima kasih kerana menghina kerjaya kami sebagai jururawat.

Saturday 6 September 2014

Soalan lazim apabila bekerjaya.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum semua.

Bila sudah bekerja dan berkereta, sering soalan ini ditujukan kepadaku. Kekadang sampai satu tahap terasa seperti hendak marah dan hilang sabar. Saya tahu ramai yang ingin melihat saya mendirikan masjid. Tapi saya belum bersedia. Umur pun baru setahun jagung. Ya, memang ramai yang berkahwin di usia muda tapi saya tidak berani menanggung risiko. Masih banyak ilmu berumahtangga yang perlu saya belajar. Banyak persiapan yang perlu dilakukan terutamanya dari segi fizikal dan mental. Sabar ye semua. Bila tiba masanya nanti, saya akan menjemput anda semua. Terima kasih atas doa kalian. Saya sangat terharu dan menghargainya. ^_^. Jom sama-sama hayati dialog yang tidak seberapa ini.

Situasi 1:

A: Dah berkahwin ke?
B: Belum lagi.
A: Bila nak berkahwin? Kan sudah bekerja dan bekereta.
B: In Shaa Allah akan sampai masanya nanti.

Situasi 2:
A: Dah berkahwin ke?
B: Dah.
B: Bila?

A: Hujung tahun ini.
B: Eh, apasal awal sangat. Kan umur baru 22 tahun.
A: Tsskk. (senyum dalam paksa).

Ingat, jodoh, rezeki, ajal, maut semuanya terletak di tangan-Nya. Kita sebagai hamba hanya mampu merancang. Yang menentu segalanya ialah Dia. Bagi yang belum berkahwin, jangan sedih-sedih. Sabar. Akan tiba jua masanya suatu hari nanti. Cuma cepat atau lambat, itu rezeki masing-masing. Kita sebagai hamba teruskan berdoa dan berdoa. Dia senantiasa mendengar doa hamba-hamba-Nya. 



Photo: Bila mula bekerja, mesti soal jodoh akan timbul. Sampai ada yang cuba merisik. Ya, niat anda memang baik. Tapi sabar, saya belum bersedia lagi. Banyak benda yang perlu diselesaikan dan diberi keutamaan. Apa-apa pun, terima kasih bagi yang sentiasa mendoakan dan mengambil berat. Sangat la terharu. In shaa Allah, sampai masanya nanti saya akan menjemput anda. ^_^
* Jodoh itu rahsia Allah. Kita hanya mampu merancang, Dialah penentu segala-galanya. *
Teruskan berdoa, berdoa dan berdoa.


Photo: Milik siapakah hati ini.??? ^_^
In Shaa Allah, jika di izinkan-Nya. Doakan kami. ^_^

Harta pertama

Teks: Nurfarahin Johari.

Assalamualaikum semua.

Aku dengan rasminya telah berjaya menamatkan zaman sebagai seorang pelajar jururawat pada 31 Disember 2013 pada umur baru melangkau 21 tahun.Yeay! Seronok sangat bila dapat melangkah keluar dari pintu pagar kolej. Al-maklumlah disiplin yang tersangat ketat. Namun bila sudah bekerja, kenangan sewaktu di kolej menerjah satu demi satu. Banyak yang telah aku belajar. Alhamdulillah, berkat dorongan dan nasihat keluarga, kawan-kawan dan para pensyarah, aku menjadi aku yang sekarang.  

Sewaktu menunggu surat tawaran dari KKM, mak dan abah sering memaksa aku untuk mengambil lesen kereta. Pantang disuruh, mesti ada sahaja alasan yang akan aku berikan. Tapi akhirnya pada 22 April 2014, akhirnya aku berjaya juga mendapatkan lesen kereta. Degil kan aku. Haha. Ya, itulah aku, seorang yang sangat degil. ^_^

Sebelum beli kereta, macam-macam kereta yang aku inginkan. Suzuki swift, Ford Fiesta. Semuanya kereta luar negara. Aku bukan berlagak tapi setiap orang ada keinginan tersendiri kan. Tidak salah berangan dan berusaha untuk mendapatkan apa yang dihajati.


Photo: Hurmmm..In shaa Allah . . .
Sempat lagi bergambar dengan Ford Fiesta. Antara kereta pilihan aku.


Dan sekarang aku sudah memiliki kereta sendiri. Mesti anda tertanya-tanya apa jenis kereta yang aku beli kan. Haha. Suspen gitu. Kereta aku ada nama tau. Aku panggil 'demok'. Kenapa 'demok'? Jawapannya sebab aku rasa kereta aku lagi besar dari aku. Ya, realitinya memang kereta aku lagi besar dari aku. Bila aku cakap aku beli 'demok', soalan yang sering ditanya "sampai ke kaki untuk memandu"? Haha. Alhamdulillah, sekarang aku berulang-alik ke kerja dengan 'demok'.


Photo: Aksesori dalaman untuk demok dah ada. Aksesori luaran akan datang. Biar dia ja beraya menggantikan tuannya yang tak dapat cuti. My dear twin, ada berani nak naik??? Haha. 
* beraya sakan la yer demok tahun ni *
Aksesori dalam untuk 'demok'. Aksesori luaran akan menyusul.


Sudah tidak sabar hendak tahu kereta apa yang aku beli. Sabar-sabar. Okey, aku tunjukkan gambar. Biar gambar yang berbicara. ^_^


Ini ialah 'demok'.


Inginkan sesuatu, kena berusaha. Beli ikut kemampuan. Apa-apa pun, fikir semasaknya dan buat perancangan. Kelak tidak menyesal di kemudian hari. Rasanya sampai di sini dahulu coretan untuk kali ini. Kita jumpa lagi. Assalamualaikum. ^_^



Insiden menyedihkan di Jabatan Kecemasan

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum. ^_^

Hari demi hari, banyak perkara dan pengalaman baru yang telah aku raih dan pelajari. Ada suka, duka, gelak ketawa semuanya bercampur. Walaupun kekadang memang tidak dapat disangkal bertugas di sini sangat memenatkan, namun bila terfikirkan karenah pesakit, aku tersenyum sendiri. Bagi aku mereka ini tersangatlah comel terutamanya orang tua. Sesetengah dari mereka sebolehnya ingin melakukan semua dengan sendiri tetapi terbatas dek kesihatan yang tidak mengizinkan. Bagi jururawat seperti aku, kami tidak meminta sebarang balasan. Bagi kami cukuplah dengan ucapan terima kasih dan menghargai kerjaya kami. Tapi malangnya lebih banyak tohmahan negatif yang kami terima dari yang positif. Tidak mengapa, walau apa pun yang terjadi, kami tetap akan melakukan tanggungjawab kami seikhlas dan semampu kami.

Bila bersendirian, insiden ini kerap menerjah di ruang ingatanku. Aku ingat lagi ketika itu aku baru mula bertugas di Jabatan Kecemasan. Ceritanya bermula apabila seorang budak perempuan, berumur 12 tahun dibawa masuk ke zon kuning (zon separa kritikal) disebabkan oleh muntah dan sakit perut yang teruk. Doktor mendiagnos AGE (acute gastroenteritis). Seperti biasa, rawatan yang diberikan ialah syrup MMT (magnesium trisilicate mixture) tetapi adik ini muntah balik. Katanya dia memang tidak boleh makan sebarang jenis ubat. Tiada cara lain selain terpaksa memasukkan branula (jarum) untuk menghidrat semula adik ini akibat muntah yang teruk. Malangnya, vein (urat) dia tersangatlah susah nak cari, ditambah pula dengan kecil. Seorang demi seorang mencuba tapi tetap gagal. Kata si ibu, anaknya memang kerap dicucuk. Selalu sangat keluar masuk hospital. Rupa-rupanya baru aku tahu rupanya adik ini baru sahaja selesai menghabiskan sesi kimoterapi yang disebabkan oleh tumor otak. Ibunya dapat mengetahui penyakit ini pun baru 9 bulan yang lepas. Dan kini adik ini hilang nikmat melihat kedua-dua belah matanya yang disebabkan oleh pembedahan membuang tumor otaknya. Allah, kesiannya. Kecil-kecil lagi dah terpaksa menghadapi dugaan yang seberat ini. Mesti adik fobia dengan jarum dan bau hospital kan.

Kalau anda ingat, adik ini pernah disiarkan dalam rancangan 'Bersamamu' yang disiarkan di TV3 pada 25 Februari 2014. Sebak hati tatkala melihat adik ini meraung kesakitan. Ye adik, kami tahu adik sakit tapi kami terpaksa menolong adik. Bersabarlah sayang. Bertahanlah. Adik kena kuat. Mungkin di dunia adik sengsara tapi siapa tahu di akhirat kelak adik mendapat apa yang adik tidak dapat di dunia ini. Apa-apa pun, adik kena kuat dan tabah. Ramai yang menyayangi adik.


Photo: Gadis cilik berusia 12 tahun yang dahulunya seorang pengawas sekolah yang cantik, periang, ramah dan bijak kini berubah menjadi muram, sugul dan tidak bermaya.  Kedua matanya tidak lagi mampu melihat setelah dia melakukan pembedah membuang ketumbuhan di kepalanya 5 bulan lalu. Dunia menjadi gelap... Segalanya berubah sekelip mata. Dia terpaksa menjalani Kimoteraphy sehingga menyebabkan rambutnya gugur dan dia tidak lagi berkeyakinan...Hidup di dalam keluarga miskin dan kurang berkemampuan.. Mampukah dia kembali pulih seperti kanak- kanak lain?...masih adakah peluang untuk gadis ini menyambung pelajaran?..sama-samalah membantu.. hulurkan tangan ringankan beban.  Saksikan Bersamamu Selasa 25hb February 2014 jam 9.30 malam di tv3.
Sama-sama kita doakan adik Lily Syuhada Mazlan. Semoga dia sentiasa tabah dan kuat menghadapi hari-hari mendatang. Be strong dear.! Kakak sayang adik.







Thursday 4 September 2014

Ceritera seorang Jururawat Terlatih.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selama tiga tahun belajar di perantauan, banyak benda yang aku belajar. Belajar berdikari, belajar menyelesaikan masalah sendiri, belajar menahan kerinduan dek berjauhan dengan keluarga, belajar naik bas sendiri dan macam-macam lagi. Al-maklum la aku tidak pernah berjauhan dengan keluarga sehinggalah berumur 19 tahun, itu pun kerana terpaksa. Kalau tidak memikirkan peluang pekerjaan yang akan aku dapat selepas tamat belajar, tidak ingin aku menjejakkan kaki di bumi Seremban.

Kini, Alhamdulillah aku bersyukur kerana pada usia 22 tahun aku diterima bekerja dalam sektor kerajaan. Kata orang, susah jika hendak bekerja dalam sektor kerajaan tambah-tambah di usia muda. Memang rezeki aku kan. Ya, Dia adalah sebaik-baik perancang.

Tanggal 17 Februari 2014:
Aku diminta untuk melaporkan diri di Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. Memang berdebar apabila mengenangkan di mana tempat yang akan aku ditempatkan. Nama seorang demi seorang dipanggil. Tiba nama aku, aku diberi sepucuk surat. Zapp.!!! Jantung seakan terhenti sebentar. Alhamdulillah, nasib menyebelahi aku. Aku diterima bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, hospital yang aku rasakan sangat susah untuk masuk. Sekali lagi rezeki menyebelahi aku. Aku ditempatkan di negeri kelahiran aku, Jelapang Padi dan ditugaskan di hospital yang boleh dikatakan berdekatan dengan keluarga. Beruntungkan. Tapi jangan lupa. Dia adalah sebaik-baik perancang. Semuanya telah tertulis sejak azali lagi. Cantik sekali aturan-Nya. SubhanAllah.

Tanggal 23 Februari 2014:
Bermulalah episod di mana aku terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Jabatan Kecemasan? Bukan calang-calang orang yang ditugaskan di situ, tempat yang terkenal dengan sibuk, banyak komplen dan macam-macam lagi. Seperti tidak percaya 'freshie' seperti aku ditempatkan di situ. Tapi ini memang kenyataan. Tidak mengapa, akan aku buktikan bahawa 'freshie' yang langsung tidak ada 'post-basic' boleh diharapkan dan akan mahir suatu hari nanti.

Tanggal 24 Febarauari 2014:
Bermulalah sesi orientasi selama seminggu. Ya, aku memang 'blur'. Aku seakan berada di satu tempat yang tersangatlah asing. Tapi Alhamdulillah kerana staf dari pelajar sehinggalah ketua jabatan banyak membantu. 'Sister' dan rakan sekerja yang lain tersangatlah 'sporting' dan tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar. Syukur kerana hari-hariku berjalan dengan lancar. Walaupun banyak perkara baru yang aku perlu belajar sehinggakan balik dari kerja terus tertidur, namun aku yakin setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Semoga hari-hari mendatang dipermudahkan segala urusan oleh-Nya.

Rasanya sampai sini dulu coretan untuk kali ini. Nah, saya belanja anda gambar. ^_^


 Kenangan sebelum tamat belajar di Kolej Kejururawatan Kuala Pilah, Seremban, Negeri Sembilan. Batch 1/2011.



Gambar sewaktu hari lapor diri. Muka memang tersangat suci kan. Haha.



Wednesday 3 September 2014

Salam perkenalan

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum semua.

Nama diberi Nurfarahin binti Johari. Saya merupakan anak sulong dari lima orang adik-beradik, seorang puteri dan empat orang putera. Dilahirkan pada Julai 1992. Dibesarkan di Pendang, Kedah. 


Saya berkelulusan dalam Diploma Kejururawatan di Kolej Kejururawatan Kuala Pilah, Seremban. Sebelum menerima tawaran dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya sempat belajar di Kolej Matrikulasi Perak. Namun, tidak sempat menghabiskan pelajaran di sana, saya terpaksa berhenti atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Keluar dari matrik, saya meneruskan pelajaran di Kolej Antarabangsa Teknologi Perubatan Malaysia (KATPM) yang terletak di Perlis dalam bidang Diploma Farmasi. Namun begitu, tidak sampai sebulan saya telah mendapat tawaran dari KKM untuk menyambung pelajaran dalam Diploma Kejururawatan. Mulanya agak berat untuk saya menerimanya  namun atas dorongan keluarga, saya menerimanya. Hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun, akhirnya saya berjaya menghabiskan pelajaran pada Disember 2013 sebagai Jururawat Terlatih.


Saya tiada langsung pengalaman bekerja sebelum ini. Pada bulan Februari 2014, saya mula bekerja di Jabatan Kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah. Walaupun agak sukar kerana tempat pertama saya ialah di Jabatan Kecemasan dan saya paling muda di situ, namun saya bersyukur kerana banyak benda baru yang saya belajar. Tambahan pula tempat kerja saya berdekatan dengan rumah, ini memudahkan lagi saya untuk berulang-alik untuk berjumpa keluarga tersayang.


Saya sekarang sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Walaupun agak sibuk kerana jadual yang agak padat, namun saya akan cuba mencari masa untuk mencari produk-produk yang boleh dijadikan sebagai peluang untuk saya memulakan perniagaan. Saya bercita-cita untuk membuka kedai di atas nama saya sendiri satu hari nanti. Tidak mustahil kan umur muda seperti saya boleh memiliki perniagaan di atas nama saya sendiri. Bagi saya dengan meniaga, bukan sahaja dapat menambahkan modal tapi dapat menghilangkan tekanan selepas seharian bekerja.


Apabila ada masa yang terluang, saya sering membaca buku-buku ilmiah, keagamaan, kesihatan dan kecantikan, buku resipi/masakan dan juga tentang perniagaan. In Shaa Allah pada entri akan datang, saya akan lebihkan bercerita tentang pekerjaan saya. Diharapkan blog ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita disamping dapat berkongsi pendapat dan idea bersama.
Saya rasa setakat ini dulu entri saya. Semoga kita berjumpa lagi. Assalamualaikum. ^_^


email          : nurfarahinjohaari@gmail.com
blog            : http://nurfarahinjohari.blogspot.com/
facebook  : https://www.facebook.com/farra.hakimienavas
instagram : nuraaiin
wechat        : nurfara1007