Thursday, 25 September 2014

Karenah pesakit.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Walaupun aku baru sahaja berada dalam dunia perubatan, namun macam-macam karenah pesakit yang telah aku lihat. Ahli keluarga juga tidak kurang hebatnya. Pernah suatu ketika pesakit terpaksa dimasukkan ke wad. Namun disebabkan keadaan wad yang penuh, pesakit ini akan berada di Jabatan Kecemasan, kadang-kadang dalam jangka waktu yang lama. Cuba anda bayangkan, jika 10 orang pesakit terpaksa masuk wad tetapi keadaan wad yang penuh, datang pula kes-kes rujukan, selalunya dari Hospital Yan, Hospital Baling, Pantai Hospital, dan klinik kesihatan, kes-kes kemalangan, 'ambulance call', sudah semestinya berlambakkan pesakit akan berada di Jabatan Kecemasan. Mana satu yang kami perlu rawat? Semestinya rawatan akan diberikan kepada mereka yang teruk dan yang lebih memerlukan.

Kadang-kadang aku tidak faham kenapa ramai yang suka datang ke hospital kerajaan jika mengalami penyakit yang ringan-ringan sahaja? Tidak cukup dengan itu, ibu bapa selalu akan membawa anak-anak kecil untuk mendapatkan rawatan pada waktu malam. Di sini aku ingin menekankan kepada anda bahawa jika ada anak-anak anda yang demam, jangan takut untuk mandikan ataupun lapkan badan mereka. Kalau anda datang kepada kami, perkara yang sama akan kami lakukan. Kami akan memberi anda besen dan kain dan kami akan membogelkan anak anda dan akan meminta anda membasahkan badan bermula dari kepala sehingga ke kaki. Mudah kan. Dekat rumah pun anda boleh melakukannya. Diingatkan jangan menggunakan air sejuk tetapi anda harus menggunakan air suam. Jika keadaan berterusan, barulah anda boleh membawa anak anda ke hospital. Dan lagi satu, ubatan antibiotik yang diberikan kepada anda mestilah dihabiskan mengikut waktu yang telah ditetapkan. Jangan pula anda datang tetapi antibiotik belum dihabiskan. Jangan marah kalau kami melayan anda endah tidak endah.

Yang paling menarik, semestinya yang akan masuk ke wad adalah mereka yang tua, yang tidak berdaya untuk bergerak. Tetapi kenapa ada di antara waris yang sanggup meninggalkan mereka ini? Kami jururawat yang sibuk inilah yang terpaksa menjaga. Tapi ingat, pesakit kami bukan seorang. Jadi layanan kami agak terbatas. Kalau tidak dijaga dengan baik, mulalah timbul aduan cakap jururawat itu, jururawat ini. Diingatkan hospital bukan pusat kebajikan atau rumah orang-orang tua yang anda akan datang apabila perlu sahaja. Hospital adalah tempat menerima rawatan bagi mereka yang memerlukan. Tidak rugi langsung kalau anda meluangkan masa untuk menjaga ahli keluarga, darah daging sendiri. Jika terlalu sibuk, cuba bergilir-gilir dengan ahli keluarga yang lain. Alasan sibuk memang alasan yang tidak boleh diterima. Kasihan orang tua anda, semestinya mereka akan bersedih jika anda darah daging sendiri tidak mahu menjaga.

Dari dulu sehinggalah ke sekarang, pastinya hospital kerajaan yang akan menerima pelbagai aduan jika hendak dibandingkan dengan hospital swasta. Anda sepatutnya bersyukur kerana anda hanya dicas RM1 sahaja tapi jangan ingat hanya RM1 bermakna anda boleh mengadu itu dan ini. Kami sebolehnya akan merawat anda dengan sebaik yang mungkin. Jika tidak tahan, tolong pergi ke hospital swasta. Janganlah serabutkan kami dengan karenah anda yang entah apa-apa itu. Kami juga manusia biasa, hanya mencari rezeki tetapi jangan sesekali anda mencuba menutup periuk rezeki kami dengan fitnah anda. Ingat, mungkin anda terlepas di dunia tapi di akhirat belum tentu lagi.

Satu lagi ada yang datang kepada kami hanya untuk meminta cuti sakit (MC) sahaja. Dah tu apabila diberi sehari, minta pula 2 atau 3 hari dengan alasan sakit tidak akan baik dengan sehari cuti sahaja. Sakit tidak baik atau anda malas ke kerja? Kami ahli perubatan, hanya kami yang layak dan tahu berapa hari cuti yang anda betul-betul perlukan, bukan anda. Jadi bersyukurlah dengan jumlah MC yang kami berikan. Jangan sesekali merungut.

Dan yang paling buat kami tidak tahan, cakap kami macam-macam tapi akhirnya apabila sakit kami juga yang anda rujuk. Kadang-kadang yang datang kepada kami muka yang sama, boleh dikatakan tiap-tiap minggu dan sakit yang sama. Sampaikan ada yang 'addict' terhadap ubatan. Kami kadang-kadang terpaksa menipu dengan memberikan air biasa semata-mata tidak ingin melihat anda terlalu taksub dengan sesuatu ubatan terutamanya ubatan analgesik (ubat tahan sakit).

Jadi konklusinya, jangan merungut atau mengadu itu dan ini. Cubalah anda faham situasi dan keadaan kami. Sebolehnya kami akan mencuba memberi perawatan yang terbaik sehingga anda sembuh. Hargai kami, itu sahaja yang kami perlukan.

Bertugas malam.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Maaf kerana kesibukan bekerja yang tidak menentu shif dan line internet yang sangat mengecewakan, baru hari ini aku dapat meluangkan sedikit masa. Maafkan ya.

Seperti yang kita tahu, tidak banyak badan beruniform yang akan diberikan untuk bertugas malam. Namun, jururawat seperti kami terutamanya yang bekerja di hospital pasti tidak akan terlepas darinya. Bermulanya jam 9 malam, kami akan mengambil 'report' dari staf yang bekerja petang. Keadaan pesakit satu persatu akan diterangkan. Selepas selesai, maka bermulalah shif kami dari pukul 9 malam sehinggalah ke pukul 7 pagi. Di antara masa itu, banyak perkara yang boleh terjadi. Ketika anda semua sedang nyenyak di buai mimpi, kami terpaksa bersengkang mata bagi memastikan keadaan pesakit kami baik-baik sahaja.

Bagi jururawat yang bertugas di Jabatan Kecemasan seperti aku, kami tidak akan lari dengan kematian. Setiap hari pasti ada sahaja kes-kes kematian dari bayi sehinggalah orang tua. Pesakit datang kepada kami dengan pelbagai keadaan, sakit dada, tersedak susu, kemalangan, dipatuk ular, ragut, dipukul dan macam-macam lagi. Semestinya kami sedaya upaya akan melakukan yang terbaik demi menyelamatkan nyawa seseorang itu. Namun jika Allah tidak mengizinkan, kami tidak boleh berbuat apa-apa.

Ada satu malam, aku bertugas di zon merah (zon kritikal). Datang seorang pesakit dengan komplen sakit dada. Pastinya rawatan yang diberikan bantuan oksigen, ECG dan ubatan. Namun keadaan pesakit ini tidak begitu baik dan semakin merosot. Kami terpaksa menyelamatkannya dengan cara melakukan 'intubation' di mana pesakit terpaksa bernafas dengan bantuan mesin, seperti yang anda lihat di kaca televisyen. Namun demikian, Dia lebih menyayangi pesakit ini. Di depan mata aku sendiri, pesakit ini menghembuskan nafas yang terakhir. Allah, sekelip mata sahaja.

Apabila belakunya keadaan seperti ini, kami pasti akan buntu. Buntu bagaimana cara yang terbaik untuk dijelaskan kepada ahli keluarga. Ya, tidak semua ahli keluarga dapat menerima kenyataan ini, begitu juga kami. Tetapi apakan daya, dengan berbekalkan sedikit semangat, kami cuba menerangkan kepada mereka bahawa orang yang mereka sayangi telah pergi buat selama-lamanya.

Ketika itu, pasti aku akan fikirkan tentang keluarga aku. Dapatkah aku menerima kenyataan jika perkara tersebut terjadi ke atas aku? Namun apa yang berlaku sudah tertulis. Kita hanya dipinjamkan buat sementara waktu sahaja di dunia ini. Bila-bila masa sahaja apa yang kita ada pasti akan di tarik balik. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku senantiasa diingatkan tentang kematian. Ya, sedih memang sedih. Sedih kerana gagal menyelamatkan nyawa tapi apakan daya. Tugas tetap kena diteruskan demi pesakit yang lain. Semoga pesakit yang kami rawat dipanjangkan umur dan akan sihat seperti sedia-kala.


Saturday, 20 September 2014

Kami jururawat malaysia.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Kali ini saya bawakan kepada anda tentang realiti kehidupan seorang yang bergelar jururawat. Mungkin nampak senang bagi anda, tetapi hanya mereka yang bergelar jururawat atau yang mempunyai ahli keluarga seorang jururawat sahaja yang memahami kerjaya kami. Bagi yang menghargai kerjaya kami, terima kasih saya ucapkan. Bagi yang menghina kerjaya kami, ami akan jadikan hinaan anda sebagai penaik semangat untuk kami terus memeri perawatan yang terbaik kepada anda.

Kami jururawat Malaysia.
Bukanlah ahli silap mata.
Yang dapat memukau penontonnya.
Tetapi kami hanyalah jururawat.
Yang berusaha mengembalikan senyuman.
Mengukir kegembiraan di wajah setiap insan.
Tatkala diberi keizinan oleh-Nya untuk sembuh.

Kami jururawat Malaysia.
Bukanlah seorang pelawak.
Yang dapat menghibukan peminatnya.
Tetapi kami hanyalah jururawat.
Yang hanya memberi dorongan.
Kepada insan yang memerlukan.
Tatkala sedang diuji oleh-Nya.

Kami jururawat Malaysia.
Bukanlah pahlawan negara.
Yang gagah menghunus senjata.
Tetapi kami hanyalah jururawat.
Satu kumpulan yang cuba memberi perawatan yang terbaik.
Demi kesejahteraan insan dan negara.
Walaupun ada kalanya ami lemah dek kesakitan.

Kami jururawat Malaysia.
Bukanlah sorang pendidik.
Yamg mendidk anak bangsa ke arah kejayaan.
Tetapi kami hanyalah jururawat.
Yang berkongsi ilmu untuk sihat.
yang memberi info tenytang wabak penyakit.
Walaupun kami sendiri terdedah kepada ancaman penyakit.

Masyarakat.
' Jururawat tidak mesra'?
Maafkan kami.
Kesibukan kerja kami.
Ke sana ke mari.
Melaksanakan tugas dan juga arahan doktor.
Menjadikan ami alpa untuk memberi layanan kepada anda.

Masyarakat.
' Jururawat tidak senyum'?
Maafkan kami.
Keletihan kami semasa bertugas.
Tekanan semasa menjalankan tugas.
Melayan karenah pelbagai pesakit.
Membuat kami alpa untuk memberi senyuman kepada anda.

Masyarakat.
' Jururawat tidak sopan'?
Mungkin sesetengah dari kami.
Terlupa di mana adab sopan.
Di mana letaknya tatasusila.
Kerana nila setitik.
Rosak susu sebelanga.

Kami manusia biasa.
Ada emosi, suka, duka, gembira, kecewa.
Kami juga punyai keluarga.
Tatkala ada antara anggota keluarga kami sakit.
Kerisauan dan kebimbangan kami.
Kami sembunyi jauh di lubuk hati.
Dangan berbekalkan kegigihan dan semangat.
Kami tetap meneruskan tanggungkawab kami.

Kami jururawat Malaysia.
Maafkan kami kerana tidak mesra.
Maafkan kami kerana tidak senyum.
Maafkan kami kerana tidak sopan.
Maafkan kami jika kami tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Kami jururawat Malaysia.
Doakan kami untuk terus ikhlas.
Doakan kami untuk terus senyum.
Doakan kami untuk terus berdedikasi.
Doakan kami untuk terus berkhidmat.
Demi kesejahteraan negara Malaysia.
Aminnn...


                    
Kami sedia membantu. ^_^

Tips: Sembelit selepas bersalin.

Teks: Nurfarahin Johari.

Assalamualaikum semua.

Coretan kali ini akan saya selitkan tentang tips selepas bersalin. Ramai di kalangan kita yang akan mengalami sembelit/ sukar untuk buang air besar (BO) terutamanya selepas bersalin kan. Ok, saya akan berkongsi tips ini untuk anda. Semoga tips kali ini boleh mengubah gaya hidup anda.

Apa itu sembelit?
Sembelit ialah satu keadaan di mana kita sukar untuk membuang air besar atau jarang membuang air besar. Sembelit merupakan satu gejala, bukan satu penyakit. Bagi mereka yang mempunya tahap kesihatan yang baik, sepatutnya kita boleh membuang air besar sekurang-kurangnya setiap hari.

Kenapa berlakunya sembelit?
Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat sembelit. Di sini saya akan fokuskan sebab-sebab mengapa seseorang itu sembelit. Antaranya:
  1. Kurang mengambil makanan yang mempunyai serat seperti sayur-sayuran.
  2. Kurang melakukan aktiviti fizikal terutamanya dalam kalangan warga tua.
  3. Pengambilan ubat-ubatan seperti herba dan tradisional.
  4. Penyalahgunaan julap (ravin enema).
  5. Sering menahan untuk membuang air besar.
  6. Kekurangan air dalam badan (dehidrasi).
  7. Penyakit atau keadaan tertentu seperti strok yang meminimakan pergerakan seseorang.
  8. Masalah kolon atau rektum (masalah di bahagian usus).
Bagi masyarakat Melayu, ibu-ibu yang selepas bersalin dilarang sama sekali mengambil air dalam kuantiti yang banyak kerana dikatakan akan menyebabkan saluran faraj berair dan perut menjadi buncit. Ini salah kerana jika seseorang itu mengambil air dalam kuantiti yang banyak, ini dapat mengelakkan badan kita dari kekurangan air dan sekaligus akan melembutkan najis. Begitu juga dengan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana beranggapan takut 'sejuk'. Walhal sayur dan buah-buahan sangat kaya dengan serat yang berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan mempercepatkan aliran keluar sisa makanan dari tubuh.

Untuk mengatasi masalah ini, mari kita sama-sama mencuba tips ini. Tidak rugi kalau anda mencuba.

  1. Banyak minum air iaitu kira-kira 6 hingga 8 gelas sehari. Jika anda menyusukan bayi, kuantitinya perlulah ditambah. Air akan membantu penghasilan susu yang banyak, mengurangkan jangkitan kuman dan pundi kencing dan mengurangkan sembelit. Dehidrasi akibat kekurangan air kerana terlalu berpantang boleh menyebabkan luka lambat baik dan air susu menjadi kurang.
  2. Elak tabiat menahan untuk membuang air besar. Jika terasa ingin membuang air besar, segeralah ke tandas walaupun anda rasa kurang selesa terutamanya dalam minggu pertama selepas bersalin. Ketahuilah bahawa lebih lama anda menahan diri daripada membuang air besar, lagi keras najis anda dan pastinya akan memburukkan lagi keadaan.
  3. Lakukan banyak pergerakan seperti berjalan dan senaman ringan walaupun ketika dalam pantang. Cara ini akan memudahkan anda membuang air besar. Jadi tidak ada alasan untuk anda terus berbaring sahaja selepas bersalin.
  4. Makan makanan yang kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Selain serat, makanan ini juga mengandungi banyak vitamin seperti vitamin C. Vitamin C seperti limaum diperlukan untuk memulihkan tisu-tisu yang tercedera semasa kelahiran bayi dan bagi menyembuhkan luka episiotomi ataupun luka caesarean.
Ok. Diharapkan tips kali ini berguna untuk anda. In Shaa Allah, semoga anda dapat mengelak dari berlaku sembelit selepas bersalin. Berhati-hati kerana sembelit yang berlarutan dan serius mungkin akan menyebabkan buasir. Selamat mencuba. ^_^


Tuesday, 16 September 2014

Liku-liku seorang jururawat

Teks : Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini jadual tugasku tersangat padat. Bagi jururawat yang bekerja di Jabatan Kecemasan seperti aku, tugas yang tidak kira syif seperti sudah menjadi satu kebiasaan. Walaupun bercuti, acap kali aku akan dipanggil untuk bertugas. Itu belum dikira dengan kerja lebih masa, kadang-kadang terpaksa kerja dua syif. Kalau dihitungkan, masaku lebih banyak dihabiskan di hospital jika dibandingkan bersama yang tersayang. Memang tidak dinafikan kadang-kadang akan timbul perselisihan faham antara aku dan keluarga gara-gara kerja yang tidak menentu. Tapi apakan daya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Alhamdulillah, sekarang keluarga semakin memahami tentang tugasku ini.

Hari ini merupakan Hari Malaysia. Hari dimana semua orang bercuti dan menghabiskan masa bersama yang tersayang. Namun, seawal 5 pagi aku terpaksa bangun untuk menunaikan tanggungjawabku. Bangun pagi, hatiku terasa sangat berat hendak meninggalkan mereka tapi apakan daya ini adalah satu tanggungjawab bagi aku. Aku hanya mampu memandang wajah kesayanganku dengan hati yang pilu. Pernah suatu ketika ada waris bertanyakan tidak penatkah kerja tidak kira masa? Macam mana mengawal emosi ketika berhadapan dengan pesakit yang mempunyai pelbagai karenah. Mana tidaknya, baru sahaja hendak duduk, ada yang memanggil. ' Misi, nak kencing '. ' Misi, air dah habis (IVD)'. 'Misi itu, misi ini'.Kadang-kadang aku rasakan seperti aku ini seorang kuli, yang hanya disuruh untuk melakukan itu dan ini. Namun, soalan-soalan itu aku biarkan tergantung tanpa sebarang jawapan dan hanya senyuman yang mampu aku berikan.

Aku juga seperti orang lain, ada sifat marah, sedih, suka. Namun, apabila merasakan amarahku berada di tahap kemuncak, hanya satu sahaja yang aku fikir. Kita kerja kerana Allah. Jadi walau apa pun yang berlaku, banyakkan bersabar. Aku dikira beruntung kerana bekerja di usia yang agak muda. Jadi aku perlu gunakan amanat yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Rasanya sampai setakat ini dahulu coretan kali ini. Bukan apa, takut terlebih merapu. Selamat malam semua. Tidur dan rehat secukupnya, esok aku perlu bekerja. Assalamualaikum. ^_^

Monday, 8 September 2014

Kesan ubatan yang luput tarikh.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Entri kali ini saya ambil dari 'facebook'. Diingatkan sebelum anda mengambil sebarang jenis ubatan, pastikan anda melihat tarikh luputnya terlebih dahulu. Jika ubatan itu telah tamat tarikh, teruskan membuangnya. Jangan anda sayangkan duit gara-gara tidak mahu membeli ubat yang baru. Ini kerana ubatan yang telah tamat tarikh akan menyebabkan keracunan jika mengambilnya. Selain itu, pastikan anda tahu kesan sampingan ubatan sebelum mengambilnya. Sebagai contoh, jangan sesekali anda mengambil syrup benadryl (diphenhydramine) atau dalam bahasa mudah ubat batuk ketika ingin memandu kerana ubat ini akan menyebabkan anda mengantuk. 

Jika anda tidak pasti tentang ubatan yang anda ambil, sila bertanya kepada pegawai farmasi ataupun doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya. Ini untuk mengelakkan anda dari keracunan dan alergik terhadap sebarang jenis ubatan. Mencegah sebelum perkara yang lebih buruk terjadi. Anda mampu mengubahnya. ^_^

Photo: Akibat pengambilan ubat yang telah luput boleh mnyebabkan kematian.ibu bapa dan orang ramai perlu berhati-hati..sebelum pengambilan ubat sila pastikan:

- Pastikan ubat dan nama pesakit betul
- Tarikh pengambilan yang betul
- Dose yang sepatut diambil dlm sehari
- Waktu yang diarahkan oleh doktor
- Cara pegambilan ubat seperti diarah oleh doktor
- Tarik luput ubat pada lebal ubat

ubat yang telah luput boleh menjadi racun...pasti juga menbaca kesan ubat yang akan diambil kerana ada sesetengah ubat menpunyai kesan sampingan seperti ubat batuk boleh menyebabkan mangantuk.Tidak sesuai diambil jika mahu memandu.

sila hebahkan kepada saudara dan sahabat yang lain..
Semoga dengan health education ini menyedarkan orang ramai dan mengurangkan kes keracunan ubatan...
Semoga entri ini dapat menyedarkan orang ramai dan dapat mengelak dari berlakunya kes keracunan terhadap ubatan. 

Wassalam. 

Dianggap hina dan kotor?

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selama tiga tahun belajar dalam diploma kejururawatan, kami tidak pernah diajar cara-cara untuk memcuci BO (air besar), PU (air kencing) dan vomit (muntah). Namun disebabkan kami mementingkan kebersihan dan kesihatan pesakit, kami rela untuk melakukan kerja-kerja yang dianggap kotor itu. Jadi ini bermakna semua orang boleh melakukan tugas ini, tidak kira orang awam ataupun jururawat itu sendiri. Tetapi malangnya setiap kali pesakit BO atau PU, pasti ahli keluarga akan terkial-kial mencari jururawat. Apabila kami mengajak untuk melakukan bersama kami, pasti ada sahaja alasan yang diberikan. Kotor, jijik, geli, tidak tahan dengan bau, takut berjangkit dan macam-macam lagi. Sedangkan itu ahli keluarga sendiri, darah daging sendiri. Akhirnya kami jururawat inilah yang terpaksa melakukan tugas ini sendirian. Kenapa perlu jijik? Itukan darah daging anda sendiri. Kami yang langsung tiada ikatan persaudaraan sanggup membersihkannya, mengapa tidak anda? Bukan seorang pesakit yang kami perlu jaga tapi berpuluh-puluh orang pesakit dalam satu masa. Kami bukan robot, kami juga ada perasaan seperti anda.

Sepatutnya anda bersyukur kerana walaupun kami jururawat yang sering anda hina dan caci, kami tetap akan menolong ahli keluarga anda. Kami akan pastikan semua pesakit kami berada dalam keadaan yang bersih. Jika anda mahu menghina jururawat yang menjaga ibu dan bapa anda sendiri, fikir sejenak. Anda sendiri tidak mampu menjaga mereka, jijik dengan mereka, jadi siapa yang lebih hina? Selamat berfikir. ^_^