Thursday 25 September 2014

Karenah pesakit.

Teks: Nurfarahin Johari

Assalamualaikum.

Walaupun aku baru sahaja berada dalam dunia perubatan, namun macam-macam karenah pesakit yang telah aku lihat. Ahli keluarga juga tidak kurang hebatnya. Pernah suatu ketika pesakit terpaksa dimasukkan ke wad. Namun disebabkan keadaan wad yang penuh, pesakit ini akan berada di Jabatan Kecemasan, kadang-kadang dalam jangka waktu yang lama. Cuba anda bayangkan, jika 10 orang pesakit terpaksa masuk wad tetapi keadaan wad yang penuh, datang pula kes-kes rujukan, selalunya dari Hospital Yan, Hospital Baling, Pantai Hospital, dan klinik kesihatan, kes-kes kemalangan, 'ambulance call', sudah semestinya berlambakkan pesakit akan berada di Jabatan Kecemasan. Mana satu yang kami perlu rawat? Semestinya rawatan akan diberikan kepada mereka yang teruk dan yang lebih memerlukan.

Kadang-kadang aku tidak faham kenapa ramai yang suka datang ke hospital kerajaan jika mengalami penyakit yang ringan-ringan sahaja? Tidak cukup dengan itu, ibu bapa selalu akan membawa anak-anak kecil untuk mendapatkan rawatan pada waktu malam. Di sini aku ingin menekankan kepada anda bahawa jika ada anak-anak anda yang demam, jangan takut untuk mandikan ataupun lapkan badan mereka. Kalau anda datang kepada kami, perkara yang sama akan kami lakukan. Kami akan memberi anda besen dan kain dan kami akan membogelkan anak anda dan akan meminta anda membasahkan badan bermula dari kepala sehingga ke kaki. Mudah kan. Dekat rumah pun anda boleh melakukannya. Diingatkan jangan menggunakan air sejuk tetapi anda harus menggunakan air suam. Jika keadaan berterusan, barulah anda boleh membawa anak anda ke hospital. Dan lagi satu, ubatan antibiotik yang diberikan kepada anda mestilah dihabiskan mengikut waktu yang telah ditetapkan. Jangan pula anda datang tetapi antibiotik belum dihabiskan. Jangan marah kalau kami melayan anda endah tidak endah.

Yang paling menarik, semestinya yang akan masuk ke wad adalah mereka yang tua, yang tidak berdaya untuk bergerak. Tetapi kenapa ada di antara waris yang sanggup meninggalkan mereka ini? Kami jururawat yang sibuk inilah yang terpaksa menjaga. Tapi ingat, pesakit kami bukan seorang. Jadi layanan kami agak terbatas. Kalau tidak dijaga dengan baik, mulalah timbul aduan cakap jururawat itu, jururawat ini. Diingatkan hospital bukan pusat kebajikan atau rumah orang-orang tua yang anda akan datang apabila perlu sahaja. Hospital adalah tempat menerima rawatan bagi mereka yang memerlukan. Tidak rugi langsung kalau anda meluangkan masa untuk menjaga ahli keluarga, darah daging sendiri. Jika terlalu sibuk, cuba bergilir-gilir dengan ahli keluarga yang lain. Alasan sibuk memang alasan yang tidak boleh diterima. Kasihan orang tua anda, semestinya mereka akan bersedih jika anda darah daging sendiri tidak mahu menjaga.

Dari dulu sehinggalah ke sekarang, pastinya hospital kerajaan yang akan menerima pelbagai aduan jika hendak dibandingkan dengan hospital swasta. Anda sepatutnya bersyukur kerana anda hanya dicas RM1 sahaja tapi jangan ingat hanya RM1 bermakna anda boleh mengadu itu dan ini. Kami sebolehnya akan merawat anda dengan sebaik yang mungkin. Jika tidak tahan, tolong pergi ke hospital swasta. Janganlah serabutkan kami dengan karenah anda yang entah apa-apa itu. Kami juga manusia biasa, hanya mencari rezeki tetapi jangan sesekali anda mencuba menutup periuk rezeki kami dengan fitnah anda. Ingat, mungkin anda terlepas di dunia tapi di akhirat belum tentu lagi.

Satu lagi ada yang datang kepada kami hanya untuk meminta cuti sakit (MC) sahaja. Dah tu apabila diberi sehari, minta pula 2 atau 3 hari dengan alasan sakit tidak akan baik dengan sehari cuti sahaja. Sakit tidak baik atau anda malas ke kerja? Kami ahli perubatan, hanya kami yang layak dan tahu berapa hari cuti yang anda betul-betul perlukan, bukan anda. Jadi bersyukurlah dengan jumlah MC yang kami berikan. Jangan sesekali merungut.

Dan yang paling buat kami tidak tahan, cakap kami macam-macam tapi akhirnya apabila sakit kami juga yang anda rujuk. Kadang-kadang yang datang kepada kami muka yang sama, boleh dikatakan tiap-tiap minggu dan sakit yang sama. Sampaikan ada yang 'addict' terhadap ubatan. Kami kadang-kadang terpaksa menipu dengan memberikan air biasa semata-mata tidak ingin melihat anda terlalu taksub dengan sesuatu ubatan terutamanya ubatan analgesik (ubat tahan sakit).

Jadi konklusinya, jangan merungut atau mengadu itu dan ini. Cubalah anda faham situasi dan keadaan kami. Sebolehnya kami akan mencuba memberi perawatan yang terbaik sehingga anda sembuh. Hargai kami, itu sahaja yang kami perlukan.

No comments:

Post a Comment